1987-1989 : Sejarah Awal Kumpulan Spring's

Kumpulan Spring telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu di Seremban, Negeri Sembilan dengan nama asalnya, Anthem. Kumpulan ini diasaskan oleh 3 orang pemuda yang meminati muzik iaitu Tengku Raden Iskandar bin Tengku Ismail (Iskandar) di posisi gitar, Mohd Azhar bin Mohd Yusof (Zaha - gitar) dan Ahmad Hafzan bin Abdullah (Amat - vokal). Mereka bertiga merupakan ahli asal. Manakala posisi pemain gitar bass & dram kemudiannya diisi oleh ahli-ahli yang silih berganti. Antara pemain bass yang pernah menyertai Anthem ialah Ajis dan Allahyarham Rahim (Ayim). Fauzi pernah mengisi posisi pemain dram. Pada zaman awal, kumpulan ini boleh dikatakan aktif apabila kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan di funfair, kelab, konsert-konsert mini dan majlis-majlis perkahwinan di seluruh Malaysia. Antara pengaruh awal bagi Anthem ketika itu adalah kumpulan heavy metal dari luar negara seperti Iron Maiden dan Accept.

Anthem pernah mendapat peluang untuk merakam lagu dalam album kompilasi War Rock 3 (1989). Namun, gitaris utama kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong telah mengesan bakat dan potensi mereka, seterusnya mempelawa Anthem untuk menjadi artis rakaman. Merasakan itu adalah peluang terbaik untuk Spring mempunyai album sendiri, akhirnya mereka sah menandatangani kontrak sebagai kumpulan rock pertama yang bernaung di bawah label CBS Records yang mana syarikat tersebut kemudiannya dikenali sebagai Sony Music Malaysia pada tahun 1990. Ketika itu, Mohd. Yunus Mokhtar (Yunus - bass) dan Rozly Yahya (Acong - dram) telah pun menyertai Anthem. Sebelum merakam album pertama, nama Anthem telah ditukar kepada Spring.